Saturday, December 31, 2011

Lemon Almond Cake

Pagi-pagi lagi dah buat kek ni cadang nak bawa ke rumah adik untuk kenduri doa kesyukuran, malangnya kereta problem tak dapat ke sana. Jauh you... Sungai Buloh - Skudai...apa-apa hal problem lagi susah. Nampaknya kami sekeluarga je lah yg makan kek ni. Resepi saya adaptasi dari sini

Bahan-bahan
4 biji telur size A
150g gula castor
100g tepung gandum
1 sudu teh baking powder
120g serbuk badam
2 biji lemon -  stok ada 1 biji je (parut kulitnya dan perah jusnya)
100g mentega (dicairkan)
2 sudu besar air masak
Kepingan badam secukupnya

*untuk peringatan sendiri - gunakan parutan 2 biji lemon, 1 je kurang rasa lemon :)

Cara membuatnya
1. Ayak tepung dan baking powder - ketepikan
2. Cairkan mentega - sejukkan jangan sampai beku semula
3. Isi air panas ke dalam sebuah bekas, kemudian letakkan mangkuk lain di atasnya (macam nak mengukus) untuk memutarkan telur dan gula hingga kembang, halus dan bertanduk
4. Masukkan tepung, serbuk badam, parutan kulit lemon dan jus lemon juga air masak, kaup balik adunan sehingga sebati
5. Tuangkan mentega cair, gaul sebati
6. Tuangkan adunan ke dalam loyang pembakar 9 inci (seeloknya 8 inci) yang sudah dilenser dengan mentega.
7. Tabur kepingan badam di atasnya
8. Bakar pada suhu 150C  selama 30-40 minit dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu



Thursday, December 29, 2011

Hello Kitty Cookies

Ni character pujaan ramai di Jepun dan juga seluruh dunia. Kat Jepun kalau sorang tu dah minat Hello Kitty, maka segala-galanya ada chop Hello Kitty bukan budak-budak je, mak budak pun minat juga...hehehhe


Wednesday, December 28, 2011

Bingka Cheese Berlauk

Cheese??? Ermm orang kat rumah ni memang hantu cheese, tapi yang payahnya bila ada sayur mulalah terkuis-kuis macam ayam, semua sayur ditolak tepi....aishhh budak-budak memang camtu kan? Resepi dari blog Home Sweet Home Puan Ummi. Terima Kasih kerana berkongsi resepi yang enak dan mengenyangkan! Agak-agaknya boleh buat menu diet tak? :)

Bahannya
1 cawan tepung gandum
3 sudu  besar tepung jagung
2 biji telur
1 sudu kecil garam halus
1 kotak santan Kara + 2 cawan air
2 sudu besar parutan Cheddar Cheese

1.Campur semua bahan kecuali cheese, kacau rata dan tapis.
2.Tuang adunan ke dalam loyang pembakar yang telah disapu dengan marjerin/mentega/minyak sayuran
3. Tabur cheddar cheese di atas adunan
4. Bakar pada suhu 170C selama 20minit (oven mestilah sudah dipanaskan terlebih dahulu)

Bahan untuk Inti
200g daging kisar
1 biji kentang - potong dadu (Puan Ummi guna 2 biji)
1 labu bawang besar - potong dadu
1 biji lobak merah - dihiris
2 sudu besar rempah kari daging
1 biji cili merah - dihiris
5 tangkai daun sup - dihiris
daun bawang (tak letak, tak de stok di rumah)
Minyak masak untuk menumis
Garam secukup rasa

1. Tumis bawang besar hingga naik bau, masukkan daging, diikuti dengan kentang.
2. Masukkan rempah kari.
3. Bila kentang separa empuk, masukkan lobak merah & garam, tumis hingga masak
4. Toskan minyak berlebihan, taburkan inti atas bingka bersama sebahagian bahan hirisan - cili, daun sup & daun bawang
5. Sambung bakar lagi selama 30 minit
6. Potong dan hidangkan dengan sebahagian lagi bahan hirisan

nyum nyum......

saya guna loyang 7 x 7 inch sedang elok je penuh & mampat, kalau guna 2 biji kentang tak muat rasanya

Monday, December 26, 2011

Kek Batik Log

Kek yang simple, mudah dibuat. Saya guna jejari biskut beli timbang. Jejari biskut ni ada yang manis ada yang masin, saya beli yang manis. Cara buat sama aje dengan kek batik yang lain cuma guna jejari biskut ni bila potong nampak macam log - log cabin tu idaman hubby saya :) Ada pelbagai resepi kek batik saya pilih untuk cuba resepi dari sini

Bahannya
200g jejari biskut
100g mentega
300g dark chocolate
200g susu pekat manis
1/2 cawan kacang pistachio
(nak tambah kacang-kacang lain pun boleh, pistachio aje yg ada di rumah)

Cara membuatnya
1. Cairkan coklat dan mentega dengan kaedah double boiling
2. Tuangkan susu pekat, kacau sebati semua bahan dan angkat dari pemanas
3. Lapik acuan dengan kertas minyak supaya mudah nak dikeluarkan nanti
4. Tuang sedikit adunan coklat ke dalam acuan kemudian baru aturkan jejari biskut dan kekacang berselang- seli
5. Tuang rata semua adunan coklat dan padatkan dalam acuan
6. Sejukkan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya selama 1 jam sebelum dihidangkan

eemmm sedapnyaa.....:)

Tuesday, December 20, 2011

Strawberry Scones

Sejuk Cameron Highland tu masih terasa dimusim hujan sekarang ni...ekekeke. Stok strawberry pun masih ada lagi sikit boleh cuba buat scone. Scone ni sedap dimakan panas-panas, dah sejuk kurang ummph sikit. Puas geledah google cari resepi moist strawberry scones, akhirnya saya pilih untuk cuba resepi dari sini

Bahannya
1 biji telur
1/4 cawan heavy cream
1/4 cawan yogurt
1 sudu kecil vanila extract

2 cawan tepung gandum
1/3 cawan gula castor
2 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil garam
150g mentega dipotong kiub lebih kurang 1cm

1/2 cawan strawberry segar dipotong dadu

Cara membuatnya
1. Putar atau pukul dengan hand whisk telur, cream, yogurt dan vanila extract, ketepikan
2. Ayak tepung + baking powder + garam. Campurkan gula & gaul sebati. Masukkan mentega dan ramas dengan hujung-hujung jari atau guna 2 pisau untuk menggaul tepung dan mentega.
3. Buat lubang ditengah mangkuk berisi tepung tadi dan tuangkan adunan cream + yogurt, adun sebati tetapi  jangan terlebih adun
4. Masukkan strawberry perlahan-lahan supaya strawberry tak hancur
5. Ceduk adunan dalam acuan muffin yang telah disapu dengan mentega
6. Bakar dalam oven yang telah dipanskan terlebih dahulu pada suhu 150C selama 30minit
7. Hidang dengan jem kegemaran anda dan whipped cream, kalau suka boleh sapu mentega lagi...makan panas-panas sedap!



ni yang kami makan masa di Cameron Highland tu hari...:)

Thursday, December 15, 2011

Sambal Tumis Petai Musafir

2 hari lepas baru balik dari Cameron Highland, hari-hari hujan di sana, sejuukknya. On the way ke tempat penginapan hubby singgah beli petai. Kami menyewa sebuah apartment, selesa sangat tempatnya, tambah pula tuan rumah sediakan peralatan dan bahan untuk memasak, dapat la masak nasi lemak ala-ala orang ber'camping' esoknya.

Bahannya
40 tangkai cili kering (buang biji & rendam)
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu besar asam jawa + secawan air
minyak untuk menumis
garam, gula
1/2 kiub ikan bilis
Petai

Caranya
1. Kisar cili kering, bawang besar & bawang putih
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau, masukkan air asam jawa
3. Biar tumisan dengan api sederhana hingga pecah minyak dan boleh tumis lebih lama lagi untuk kurangkan rasa pedas
4. Masukkan petai
5. Masukkan kiub ikan bilis, garam & gula secukup rasa


Nasi Lemak asal boleh....tak ada santan jadi kami ganti dengan minyak sayuran

Thursday, December 8, 2011

Magnolia's Raspberry Cream Cheese Buns

Resepi ni dari buku Magnolia Bakery Cookbook yang telah dikongsi oleh Tia dalam blog comelnya 'buttercreambarbie.com' . Magnolia Bakery dikatakan terkenal dengan pelbagai dessert yang sedap dan fresh di New York City. Alahai bertuahnya badan kalau dapat sampai sana...ntah bila lah tu...Buns ni memang sedap, lembut dan tidak terlalu manis dan rasa keju yang sederhana.

Bahannya
250g cream cheese
125g mentega
1 3/4 cawan tepung gandum
1 cawan gula castor
2 biji telur
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil baking soda
1/4 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil vanila extract
1/4 cawan susu segar
raspberry filling secukupnya

Cara membuatnya
1. Putar cream cheese, metega dan gula hingga kembang dan warna adunan menjadi pucat
2. Masukkan telur satu persatu dan putar lagi hingga sebati, masukkan juga ekstrak vanila
3. Ayak tepung, baking powder, baking soda dan garam dan ketepikan
4. Masukkan tepung berselang-seli dengan susu ke dalam adunan mentega (mula dan akhir dengan tepung - tepung-susu-tepung-susu-tepung), adun sebati
5. Ceduk adunan ke dalam mangkuk kertas dengan raspberry sebagai inti
6. Bakar dengan suhu 150C selama 25-30 minit

Wednesday, December 7, 2011

Biskut Cornflakes Rangup

Semua orang kat rumah ni sukakan cornflakes especially budak-budak. Cuti sekolah tak henti-henti memasak cuma tak sempat update je berebut netbook dengan anak-anak....hehehe..

Resepi asal: junjs11

Bahannya
250g mentega
3/4 cawan gula castor
2 1/2 cawan tepung ros
3 cawan Nestle Cornflakes (diramas hancur)
1/2 cawan choc chip

Cara membuatnya
1. Pukul mentega dan gula hingga kembang
2. Masukkan tepung, cornflakes - adun sebati
3. Masukkan choc chip dan gaul rata
4. Baka pada suhu 150C selama 20 minit atau hingga keperangan

* boleh juga dimasukkan ke dalam mangkuk kertas sebagai acuan

memang rangup!

Saturday, December 3, 2011

Kuih Getas

Kuih tradisional, ada macam-macam nama, kuih getas/amplang/kemplang, itu ler kuihnya buat pun senang rasa pun sedap. Selalu beli kuih ni kat kantin sekolah, zaman tu 20sen sekeping sebesar separuh tapak tangan.

Sumber: kay730601
Bahannya
3 cawan tepung pulut
1 cawan tepung gandum
1 cawan kelapa parut (isi putih)
1 sudu kecil garam
1 cawan air
1/2 cawan gula + 4 sudu besar air untuk menyira
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya
1. Satukan tepung pulut, tepung gandum, garam & kelapa parut
2. Tuang air sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh dikepal dan tidak melekat
3. Bentukkan adunan ikut suka - biasanya lonjong dan leper
4. Goreng dengan minyak penuh dan api sederhana
5. Angkat dan toskan, kemudian sira dengan gula (masak gula + air dengan api kecil hingga berbuih-buih, masukkan kuih yang telah digoreng dan cepat-cepat sira, gula akan mengering dan melekat dengan cepat)

budak-budak suka ler sebab gula berkerak-kerak tu...:)

Wednesday, November 30, 2011

Cream Puff

Sukanya makan cream puff ni, tak susah sangat buat rupanya...ish ish...rajin tak rajin je ya! Boleh tengok step by step di sini

Bahannya
100ml air
45g mentega
60g tepung gandum (diayak)
2 biji telur

Cara membuatnya
1. Potong kecil-kecil mentega
2. Pukul telur dengan hand whisk atau mixer
3. Panaskan metega dan air dengan api sederhana sehingga mentega larut
4. Angkat dari api dan masukkan tepung gandum, kacau dengan cepat
5. Panaskan atas api semula adunan tadi hingga lapisan nipis terbentuk pada periuk
6. Angkat periuk dan masukkan adunan ke dalam bekas telur tadi, putar dengan mixer hingga sebati
7. Masukkan adunan ke dalam piping bag dan picit atas dulang pembakar yang telah dilenser dengan mentega terlebih dahulu
8. Tekan bahagian atas yang bertanduk untuk mendapatkan puff yang cantik
9. Spray permukaan puff
10. Bakar pada suhu 180C selama 15minit, kemudian turunkan suhu 150C selama 25 minit atau sehingga masak

Bahan untuk cream kastad
Sumber: Honey

1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
200ml susu segar
4 sudu besar gula
1 biji telur
1 sudu besar mentega

Cara membuat cream kastad
1. Campurkan semua bahan, masak atas api sederhana
2. Kacau dengan whisk selalu agar cream tidak berketul
3. Masak hingga meletup-letup
4. Angkat dari api dan campurkan mentega, kacau sebati
5. Biarkan sejuk dan bolehlah diisi di tengah-tengah puff

nyummy!

Friday, November 25, 2011

Kuih BOM!

Sedapkan kuih ni? Kalau tak ikut petua memang boleh meletup! :)
Saya ikut resepi di sini

Bahan untuk doh
1 cawan tepung pulut
1 sudu besar tepung gandum
190-200ml air

Bijan secukupnya

Bahan untuk inti
kelapa parut
gula melaka
sedikit garam
air

Caranya
1. Masak inti - campurkan semua bahan dan masak atas api sederhana sehingga gula larut dan inti kering
2. Angkat dan sejukkan inti
3. Gaul tepung pulut, tepung gandum dengan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh dan tidak melekat di jari
4. Bahagikan doh menjadi bebola kecil dan isikan inti ditengah-tengah.
5. Golekkan bijan hingga melekat elok keseluruhannya dan terus goreng
6. Goreng dalam minyak penuh dengan api sederhana dan jangan goreng terlalu lama agar kuih tidak meletup

emmm sedapnya...

Tuesday, November 22, 2011

Melt In Mouth Chocolate Cake

Panjang nama kek ni, tapi buatnya simple aje, tak perlu guna mixer, cuma godak-godak pasti jadi :)
Saya memang sukakan yang simple tapi sedap! Thank You Clotilde Dusoulier for sharing this fantastic recipe!

Bahannya
200g mentega
200g dark chocolate
200g gula castor
4 biji telur
1 sudu besar tepung gandum

Caranya
1. Cairkan dark chocolate dan mentega dengan cara double boiler & kacau rata,
2. Alihkan dari pemanas dan masukkan gula, kacau dengan senduk kayu hingga gula larut dan adunan sejuk
3. Bila dah agak sejuk (jangan sampai coklat membeku) pecahkan telur satu persatu, kacau sebati
4. Akhir sekali masukkan tepung, dan bolehlah dituang ke dalam acuan pembakar - saya buat jadi cupcake
5. Bakar pada suhu rendah 150C (bergantung kepada oven masing-masing) selama 30 minit/hingga kek masak

Luar garing dalam lembut!

Sunday, November 20, 2011

Blueberry Cheese Tart

hCheese + Blueberry memang kombinasi yang terbaeekk!!! Kali ni cuba buat shell sendiri selalunya beli yang dah siap je, mula-mula susah juga nak buat ya...20biji yang pertama memang buruk jadinya...lepas tu baru ok sikit...

Resepi ceduk dari sini

Bahan untuk shell
290g tepung gandum
170g mentega
50g gula icing
1 biji kuning telur
1 sudu kecil esen vanila

Cara membuat shell
Adun semua bahan hingga menjadi doh. Simpan doh ke dalam peti sejuk semalaman. 1 adunan tu saya dapat 60 biji shell saiz yang paling kecil. Buat bulat-bulat dulu baru terap ke acuan. Bakar 150C selama 20minit, biarkan sejuk baru isikan filling blueberry

Bahan & Cara membuat cheese tart
250g cream cheese
50g gula castor
1 biji telur
1 sudu teh perahan lemon

Putar cream cheese dan gula hingga sebati dan creamy, masukkan telur dan jus lemon. Isikan ke dalam piping bag supaya mudah mengisi cheese ke dalam shell. Hias dengan lorekan yang disukai dan bakar selama 5-10 minit pada suhu 150C


simpan dalam peti sejuk sebentar baru makan!

Monday, November 14, 2011

French Macaroon

Akhirnya dapat juga try buat macaroon ni, puashati sangat dengan hasilnya walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki teknik membuat. Terima Kasih pada Pn Azlita yang menunjukkan step by step cara membuat macaroon. Walaupun 1st time buat hasilnya bolehlaaa.....ada rasa walau rupa tak seberapa

Bahannya
80g (2 biji) putih telur
65g gula castor

80g serbuk badam
140g gula icing
sedikit pewarna

Caranya
1. Putar putih telur dengan kelajuan maksima hingga bertanduk (meringue)
2. Masukkan gula castor sedikit demi sedikit dan putar lagi
3. Masukkan campuran serbuk badam & gula icing yang telah diayak sedikit demi sedikit dengan kaedah kaup balik hingga sebati. Titikkan pewarna
4. Masukkan dalam piping bag dan paipkan ke atas kertas minyak yang telah dilukis bulatan saiz syiling 20sen, rehatkan selama 30-45 minit
5. Kalau ada gelembung udara, cucuk dengan pencungkil gigi untuk keluarkan udara
6. Bakar suhu rendah 110C selama 15-20 minit
7. Keluarkan macaron yang telah masak dan spray air di belakang kertas minyak biar 2-3 minit untuk mudah menanggalkan macaron tersebut dari kertas minyak. Kertas minyak sekali pakai je tak boleh recycle.
8. Sejukkan atas redai baru sapu filling

Petua membuat macaroon
1. Pilih hari yang sejuk & kering
2. Pastikan semua peralatan kering
3. Telur hendaklah pada suhu bilik (bukan dari peti sejuk)
4. Sediakan semua bahan & peralatan supaya tidak mengganggu & melambatkan proses membuat.
5. Ada beberapa lagi boleh baca di sini
with hazelnut paste filling

macaroon yang sayup2 tu tak jadi...skirtnya senget sebelah...hihihihi

Friday, November 11, 2011

Yogurt Choc Chip Muffin

Ramai yang ambil kesempatan tarikh hari ini untuk dijadikan kenangan hidup. Selamat hari bahagia untuk semua! Tiap tahun pun kami sekeluarga celebrate tarikh ni, tapi tahun ni celebrate special sikit. Mujur ada resepi simple tapi sedap, dah pernah buat - kali ni versi chocolate chip pula.

Bahannya
120g tepung gandum
70g gula kastor
1 sudu kecil baking soda
1/4 sudu kecil garam
150g plain yogurt
1 biji telur
50g mentega
1 sudu kecil esen vanila
1/4 cawan choc chip

* saya buat 5 adunan dapat 45 biji cupcake saiz sederhana (anggaran 50-55g setiap satu) 

Caranya
1. Satukan bahan kering dan ayak bersama
2. Cairkan butter atas api kecil. Angkat dan sejukkan (jangan sampai beku balik)
3. Masukkan telur & pukul sedikit hingga sebati, masukkan yogurt dan kacau lagi
4. Tuangkan adunan basah ke dalam adunan kering
5. Adun sebati baru masukkan choc chip.
6. Ceduk ke dalam mangkuk kertas, saya sukat 50-55g setiap satu supaya ada ruang untuk frosting
7. Bakar 150C sehingga masak
8. Sejukkan baru sapu icing

Buttercream Frosting/Icing
resepi asal

Bahannya

250g mentega
250g vegetable shortening
900g gula icing (diayak)
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu besar meringue powder
120-180g whipping cream

Caranya
1. Putar mentega dengan shortening hingga lembut
2. Masukkan gula sedikit demi sedikit, meringue powder - putar lagi
3. Masukkan garam, esen vanila
4. Akhir sekali baru masukkan whipping cream sedikit demi sedikit. Anggaran whipping cream antara 120-180g bergantung kepada consistency yang dikehendaki




Happy Birthday Hannah!

Wednesday, November 2, 2011

Texas Chocolate Sheet Cake

Banyak blog review kek ni sedap dan senang nak buat. Pelbagai nama diberikan pada kek ini tapi asal-asal itu lah namanya kerana bentuknya dan kenapa Texas? lom habis kaji lagi barangkali popular dan asal dari sana, boleh tgk review kat sini (easy to bake, hard to resist) , atau search Texas Sheet Cake. Saya ikut resepi di sini cuma pecan saya gantikan almond. Seperti biasa saya buat separuh adunan je dari resepi asal

Bahan & Cara membuat kek
A
1 cawan tepung gandum
1 cawan gula halus
1/8 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil baking soda (ayak 4 bahan ini dan ketepikan)

B
2 sudu besar serbuk koko
125g mentega
1/2 cawan air panas
* cairkan mentega, masukkan koko, kacau sebati, kemudian baru tuang air panas, biar 30saat atas api kecil, baru diangkat dan biar seketika. Sementara itu sediakan adunan C

C
1/4 cawan yogurt/buttermilk
1 biji telur
1/2 sudu kecil esen vanila

sedikit kepingan badam untuk hiasan

* pukul telur hingga sedikit kembang, masukkan yogurt dan esen vanila, pukul lagi sehingga sebati, ketepikan
* Masukkan bahan B ke dalam bahan A, gaul rata dan barulah masukkan bahan C. Gaul rata semuanya.
* Tuang dalam acuan 12 x 9 inci yang telah dilapik baking paper & digris dengan mentega
* Hiaskan dengan kepingan almond atas kek
* Bakar selama 20-30minit pada suhu 150C (masa dan suhu tergantung pada oven masing-masing)
* Sementara kek dalam oven, sediakan bahan frosting.

Bahan untuk frosting
100g mentega
2 sudu besar serbuk koko
3/4 cawan gula halus
1/2 sudu teh esen vanila
1/4 cawan badam cincang

* sangai (goreng tanpa minyak) badam cincang hingga garing, ketepikan
* cairkan mentega atas api kecil, masukkan koko kacau sebati, masukkan esen vanila dan akhir sekali masukkan gula, kacau hingga gula larut sepenuhnya dan angkat, biarkan sejuk. Sambil itu kacau selalu adunan sehingga sejuk dan pekat baru masukkan badam cincang
* tuang frosting ke atas kek yang telah sejuk, ratakan dan boleh terus dihidangkan atau simpan dalam peti sejuk sebentar baru dihidangkan

sebelum tuang frosting
semua ready untuk disatukan
dah siaaapp... sedap sampai tak sedar dah makan banyak potong! memang tepatlah 'easy to bake & hard to resist'! try lah! :)
                                              

Monday, October 31, 2011

Apam Polkadot Inti Kelapa

Lama dah teringin nak makan apam inti kelapa ni, resepi asal di sini ya. Saya buat 2/3 adunan.
Mula-mula buat inti kelapa dulu

Bahan Inti Kelapa
200g kelapa parut
1 ketul gula melaka diracik
2 helai daun pandan
1 cawan air

Campurkan semua bahan dan masak atas api kecil sehingga gula larut dan kering. Sejukkan

Bahan Apam
2 biji telur (sejukkan dalam peti sejuk)
160g tepung gandum
140g gula halus
100ml susu segar
2 sudu teh baking powder
2/3 sudu teh ovallete
pewarna

Caranya
1. Campurkan semua bahan dalam satu bekas dan putar dengan mixer sehingga sebati
2. Bahagi 2 adunan dan warnakan mengikut warna pilihan sendiri
3. Masukkan adunan dalam piping bag
4. Sediakan mangkuk kertas dalam acuan kuih peanut butter
5. Paipkan adunan separuh mangkuk kertas, isikan intikan kelapa dan penuhkan mangkuk kertas.
6. Hiaskan dengan bintik-bintik polkadot di atas kuih
7. Kukus dengan api kecil 15-20minit (panaskan pengukus terlebih dahulu)
8. Makan panas-panas! :)
saya guna acuan biskut peanut butter untuk mengukus
Sedapnyaaa... tapi warna pucat ya, lom pandai adjust guna coloring, gayat kalau warna terang-terang sangat hehehe...


Wednesday, October 26, 2011

Kuih Bakar

kita bako, kita bako...hehehe ucop wilcha. Baru ni nampak kat blog Yat dia bakar guna acuan muffin, comel-comel je jadinya. Kebetulan baru beli acuan muffin tu yg teringin sangat nak try. Anak bujang kat rumah ni pun suka, bahan simple, cara buat mudah. Ikut resepi kat sini... tapi buat separuh adunan.

Bahannya
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula
1 1/2 biji telur
125ml air daun pandan (6 helai daun pandan dimesin dan ditapis)
125ml santan pekat
1 sudu besar mentega
1/4 sudu kecil garam
pewarna hijau (jika perlu)
bijan untuk hiasan

Caranya
1. Campur semua bahan dan kacau sebati, jangan berketul
2. Panaskan oven 160C dan panaskan acuan muffin yang telah dilenser dengan butter terlebih dahulu
3. Keluarkan acuan dan tuang adunan 3/4 penuh, tabur bijan di atasnya
4. Bakar kuih selama 45min-1 jam

thadhaaa.....warna pucat pasal pandan semata...pandan pulak muda-muda lagi, rasa mmg sedap!

Tuesday, October 25, 2011

Udang Lemak Cili Api

Memasak akan lebih mudah jika bahan diperlukan ada disekitar dapur kita. Baru ni saya tanam semula kunyit, serai & pandan, bila nak guna petik aje :) Resepi gulai cili api Chef Hanieliza ni cukup simple tapi mesti ada daun kunyit baru umphh!

Bahannya
500g udang segar
1 paket santan serbuk Faiza (bancuh dgn 300ml air)
3 ulas bawang merah (ditumbuk lumat)
6 biji cili padi (ditumbuk lumat)
1 helai daun kunyit
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
2 biji kentang
1 biji tomato
secubit kiub ikan bilis
garam secukup rasa

Caranya
1. Bersihkan udang
2. Rebus kentang, masukkan bawang merah, cili padi, serbuk kunyit & daun kunyit
3. Apabila kentang empuk, kecilkan api, masukkan santan pekat, biar mendidh perlahan sambil dikacau (jgn sampai santan pecah)
4. Masukkan udang, tomato dan garam kacau hingga masak.

fuhhh....pedasss!!!

Monday, October 24, 2011

Blueberry Yogurt Muffin

Tekstur muffin yogurt ni sangat lembut dan rasanya juga sangat sedap. Apatah lagi cara membuatnya sangat mudah. Terima Kasih kepada 'Izahdaut' yang berkongsi resepi hebat ini.

Bahannya
120g tepung gandum
70g gula halus
1 sudu kecil baking soda
1/4 sudu kecil garam

1 biji telur
50g mentega
1 sudu kecil esen vanila
150g yogurt blueberi (saya guna marigold yogurt blueberi)

filling blueberi

Caranya
1. Satukan semua bahan kering (tepung, gula, baking soda & garam)
2. Pukul sedikit telur dengan mentega, masukkan esen vanila & yogurt
3. Masukkan adunan telur ke dalam bahan kering, gaul rata
4. Ceduk adunan ke dalam mangkuk kertas/acuan muffin dengan filling di tengah-tengah
5. Bakar pada suhu 160C selama 15-20minit

saya pasti akan buat lagi! :)

Friday, October 14, 2011

Red Velvet Cupcakes

Dah lama teringin nak buat, baru semalam dapat mencuba. Saya ikut resepi di sini. Warna merah tu yang mengancam kaaann?? Tambah pula dengan cream cheese frosting memang sedap!

Bahannya
Bahan untuk kek
A

125g tepung gandum
1/4 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil garam
10g serbuk koko (imported) - semua bahan ini diayak bersama

B
60g mentega
150g gula halus (castor)
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila

C
120ml buttermilk (120ml susu segar + 1 sudu kecil cuka atau 2 sudu kecil perahan lemon biar 15 minit sehingga menjadi dadih)
1 sudu besar pewarna merah

D
1/2 sudu kecil cuka
1/2 sudu kecil baking soda

Mangkuk kertas secukupnya

Bahan untuk Cream Cheese Frosting
110g Cream Cheese
1/2 sudu kecil esen vanila
30g gula icing
80ml whipping cream

Cara membuat kek
1. Pukul bahan B hingga kembang dan warna menjadi pucat
2. Campurkan buttermilk dengan pewarna merah (bahan C)
3. Masukkan bahan A berselang-seli dengan bahan C, A mestilah diawal dan akhir campuran (A-C-A-C-A)
4. Kaup-balik sehingga sebati.
5. Campurkan cuka dengan baking soda, biarkan ia berbuih, cepat-cepat masukkan dalam adunan kek, gaul rata
6. Tuang adunan ke dalam mangkuk kertas
7. Bakar pada suhu 150C selama 40min (bergantung pada oven masing-masing)
8. Apabila masak biarkan kek sejuk dahulu baru hias dengan cream cheese

Cara membuat Cream Cheese Frosting
1. Pukul semua bahan  sehingga sebati
2. Hiaskan ke atas cupcake
3. Simpan dalam peti sejuk dan sedia dimakan :)

Sangat puashati dengan hasilnya walaupun saya tak pandai menghias

sebelum make-up...

Sunday, October 9, 2011

MonaVie Chocolate Truffles

last week semasa blog walking terjumpa website ni , bestnya macam-macam resepi simple ada di sini. Kebetulan semua bahan ada, masa pun ada...dan sempena nak raikan kejayaan suami dalam kerjayanya, birthday dia pun baru je sambut......alhamdulillah

Bahannya
230g dark chocolate (saya guna Beryl's)
120ml whipped cream
1 sudu besar mentega
30ml MonaVie (pati 19 jenis buah)
mangkuk kertas secukupnya

Bahan untuk Coating
kelapa kering - sangai seketika
badam cincang - bakar sekejap
chocolate rice
serbuk koko

Caranya
1. Panaskan cream guna api kecil  - cukup sekadar cream berbuih kecil dikeliling periuk
2. Masukkan mentega - sehingga mentega cair dan sebati dengan cream, tutup api
3. Tuangkan cream ke dalam mangkuk adunan yg berisi dark chocolate yang sudah dicincang terlebih dahulu - biar seketika dalam 30 saat, coklat mula mencair - kacau sebati adunan
4. Apabila coklat sudah cair sepenuhnya masukkan jus MonaVie, kacau rata
5. Simpan dalam peti sejuk sehingga adunan (ganache) keras - 1-2 jam
6. Sementara itu boleh sediakan bahan untuk coating
7. Keluarkan ganache, ceduk dengan sudu kecil (saya guna scoop utk deco buah tembikai tu)
8. Bulat-bulatkan - buat dengan cepat kerana coklat akan cair dan melekat di jari & tapak tangan
9. Salut rata dengan serbuk koko, kelapa kering, badam cincang atau chocolate rice
10. Masukkan dalam mangkuk kertas

Hubby kata tak yah beli coklat lagi! :)

Sunday, October 2, 2011

Bakso

Teringat bakso yang dimasak oleh kawan semasa beraya di rumahnya tempohari. Bebola bakso readymade yang dibelinya sedap sungguh tapi tak jumpa la pulak kat sini. Walaubagaimanapun bakso ni memang sangat mudah, cepat dan sedap dimakan. Seminggu dua ni asyik waktu kecemasan aje ya.....Saya adaptasi dari resepi asal, ada juga cara-cara membuat bebola daging.

Bahannya
Bebola daging secukupnya
1 paket spaghetti vermicelli
3 biji bawang merah
2 biji bawang putih
1cm halia
1 batang serai
1-2 biji cili padi
1 kiub pati lembu/ayam
minyak untuk menumis
air & garam secukupnya
lobak merah, taugeh hijau, bawang goreng

Caranya
1. Rebus spaghetti vermicelli - masukkan ketika air sudah mendidih bersama garam & sedikit minyak sayuran
2.Kisar halus bawang merah, bawang putih, cili padi, titik halia & serai
3.Tumis bahan kisar hingga kekuningan, masukkan serai kemudian tuangkan air
4.Masukkan halia biar mendidih, masukkan lobak merah
 dan bebola daging
5. Masukkan kiub pati daging, biar seketika kiub larut dan masukkan garam secukup rasa
6. Tuangkan kuah bakso ke atas spaghetti
7. Hidangkan panas-panas dengan taugeh dan bawang goreng

Jom makan!

Friday, September 30, 2011

Sup Ikan Merah

Jarang-jarang dapat masak sup ikan ni, anak-anak kurang minat. Penyediaannya mudah & cepat dimasak, sedap pula tu! Sangat sesuai dimasak ketika waktu-waktu 'kecemasan' - waktu terhad untuk memasak... hehehe :)

Bahannya
2-3 keping ikan merah (cuci dgn asam jawa)
1 inci halia
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sup bunjut Adabi
2 biji tomato
asam jawa
2 cawan air
sedikit lada hitam
garam secukupnya
minyak untuk menumis

Caranya
1. Mayang halus halia, bawang merah & bawang putih, tumis hingga naik bau
2. Pecahkan biji lada hitam, masukkan dalam bahan tumis
3. Masukkan sup bunjut & air, biar mendidih seketika
4. Masukkan ikan dan air asam jawa, masak 2-3 minit
5. Masukkan tomato dan akhir sekali garam
6. Tabur bawang goreng & daun sup (daun sup tak de stok, bawang goreng lak lupa nak tabur masa sessi posing-posing ni)

sruupp srruupp hirup kuah sampai habis

Monday, September 19, 2011

Apam Sylt Lingon

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin...ya ampuunn...punya lah lama tak update. Bz beraya, lepas tu kena demam raya - standard ler tu dah beraya sakan :) Lepas tu memenuhi jemputan rumah terbuka saudara dan sahabat handai...seronok juga, asal hujung minggu gantung periuk! Tapi tak semua tempat datang tangan kosong, yang ni antara buah tangan ke majlis rumah terbuka tu. Jom cuba buat apam ni senang aje!

Bahan-bahannya
2 biji telur (sejukkan dalam peti sejuk)
180g tepung gandum
140g gula halus
100ml susu segar
2 sudu teh baking powder
2/3 sudu teh ovalette
1 sudu teh esen vanila
beberapa titik pewarna merah

Jem Sylt Lingon (filling)
mangkuk kertas secukupnya (saiz paling kecil)
acuan lompang

Cara membuatnya
1. Putar semua bahan kecuali pewarna dan jem sehingga sebati.
2. Apabila sudah sebati, warnakan adunan dengan pewarna merah
3. Isikan adunan ke dalam mangkuk kertas, isikan filling di tengah-tengah, kemudian penuhkan acuan dengan adunan - jangan melimpah
4. Ambil sedikit baki adunan, titiskan pewarna merah (untuk hiasan)
5. Lorekkan di atas adunan tadi
6. Masukkan mangkuk kertas ke dalam acuan lompang dan kukus selama 10-15 minit

Terlebih rajin.....;)
Makan panas-panas sedap!
Jem Sylt Lingon ni sedap sebab tak manis sangat, boleh beli di IKEA

Sunday, August 21, 2011

Almond Semolina

Pembuka tirai biskut raya tahun ini, 1st time buat biskut ni memandangkan ada lebihan tepung suji dalam stok. Semolina ialah nama lain bagi suji. Senang dan bahan pun tak banyak, bagi yang sukakan kelainan bolehlah mencuba resepi ini. Thanks Zurin for sharing this recipe!

Bahannya
125g mentega
75 gm gula perang
100 gm tepung gandum
75 gm tepung semolina
25 gm serbuk badam
1 sudu kecil esen vanila
1 biji putih telur kepingan badam untuk hiasan

Cara membuat
1. Putar mentega dengan gula hingga gula hancur
2. Masukkan esen vanila
3. Masukkan tepung gandum, semolina dan serbuk badam - gaul sebati sehingga adunan boleh dibentuk bulat-bulat
4. Susun jarak-jarak dalam loyang pembakar kerana biskut ini akan mengembang
5. Tekan sedikit dengan garfu, sapu putih telur dan hiaskan dengan kepingan badam
6. Bakar selama 10-15minit dengan suhu 180C


Biar sejuk seketika baru ler ngapp...rangup!

Sunday, August 14, 2011

Devil's Food Cake

Dah lama teringin nak buat kek ni, asik intai blog Yat tak boleh tahan daa....

Bahan-bahannya
Kek
1 cawan tepung gandum
1/4 cawan serbuk koko
3/4 sudu kecil bikarbonat soda
1/4 sudu kecil garam
1/2 cawan gula pasir
1/4 cawan gula perang
65g mentega
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla
3/4 cawan susu segar

Cream Cheese Frosting
125g cream cheese
63g mentega
1/2 cawan gula icing
1 sudu kecil esen vanila
jus lemon dari perahan sehiris lemon

Chocolate Ganache
150g dark chocolate
100ml whipped cream
secubit garam

A. Cara membuat kek
1. Ayak tepung andum, koko, bikarbonat soda & garam - ketepikan
2. Putar mentega, gula pasir dan gula perang hingga kembang.
3. Masukkan telur serta esen vanila, putar lagi hingga sebati
4. Masukkan campuran tepung ke dalam adunan mentega berselang-seli dengan susu. Mulakan dengan tepung-susu-tepung-susu-tepung. Adun sebati
5. Sapukan mentega pada loyang pembakar yang dilapik dengan kertas pembakar.
6. Tuang adunan ke dalam loyang, ratakan dan bakar pada suhu 190C selama 30 minit atau hingga masak

B. Cara menyediakan Cream Cheese Frosting
1.Cairkan cream cheese dan mentega dengan kaedah double boiling
2. Bila dah cair dan sebati masukkan gula, esen vanila & jus lemon
3. Panaskan hingga gula larut sebati dan nampak creamy
4. Biarkan sejuk

C. Cara menyediakan Chocolate Ganache
1.Cairkan dark chocolate dan whipped cream dengan kaedah double boiling
2. Adun sebati, tambahkan garam
3. Angkat & sejukkan dengan terus mengacau hingga sejuk & pekat agak-agak hampir membeku

Apabila semua sudah sejuk, tarik keluar kertas lapik membakar pada kek. Sapu rata Cream Cheese Frosting ke atas kek. Akhir sekali tuang Chocolate Ganache dan sejukkan dalam peti sejuk. Kek sedia untuk dimakaannn!!! :)

emmmm......nyummyyy!

Wednesday, August 10, 2011

Bingka Ubi

Rezeki ramadhan, durian, manggis, pulasan, rambai semua tengah banyak di kampung. Selain daripada itu mak & abah bekalkan ubi dan pisang tanduk untuk dibawa balik. Seketul besar ubi kayu tu hampir 2kg, separuh di rebus nak cecah dengan ikan pekasam dan separuh lagi saya buat bingka ubi.

Resipi asal di sini

Bahan-bahannya

3 cawan (750g) ubi kayu diparut
3/4 cawan gula pasir
3/4 cawan santan
3 sudu besar minyak masak
1/4 sudu kecil garam
1 biji telur
3 titik pewarna kuning
sedikit mentega untuk ditabur di atas adunan

Caranya
1. Parut ubi dan sukat
2. Masukkan telur, gula, garam dan pewarna kuning - gaul sebati
3. Tuangkan santan sedikit demi sedikit sambil adunan di kacau rata
4. Masukkan minyak masak 1 1/2 sudu besar. Gaul sebati
5. Sapu rata loyang dengan lebihan minyak masak tadi
6. Tuangkan adunan ke dalam loyang, ratakan
7. Taburkan mentega beku yang diracik ke atas permukaan adunan
8. Bakar dalam ketuhar 190C dengan api atas dan bawah selama 1 jam

Api bawah oven saya tidak berfungsi jadi bawah tak garing....

Tuesday, August 9, 2011

Tepung Pelita

Salam Ramadhan dan Selamat Berpuasa. Sebenarnya.....ni projek hujung minggu lepas, tak sempat nak terus update. Masak di kampung untuk berbuka puasa. Kali ni 1st time buat tepung pelita dgn acuan daun pisang. Tangan yg tak seni ni herot-berot acuan tu jadinya. Yang penting rasanya lebih sedap dalam daun pisang dari bekas plastik.

Resepinya asal di sini

Bahan-bahannya
Bahagian bawah warna hijau
1 cawan tepung beras
1 cawan gula
1 sudu besar tepung jagung
4cawan air
4 helai daun pandan diparut, campur 1 cawan air, kemudian ditapis

Bahagian atas warna putih
4 sudu rata tepung beras
4 cawan santan dari sebiji kelapa
secubit garam

Cara membuatnya
1. Masak bahagian bawah dahulu, campurkan semua bahan, kecuali tepung jagung.
2. Masak hingga gula larut dengan api kecil, lepas tu baru masukkan tepung jagung yang sudah dibancuh dengan sedkit air
3. Masak hingga pekat & berkilat. Adunan akan meletup-letup menandakan sudah cukup masak
4. Tuang adunan hijau ke dalam acuan daun pisang dengan cepat dan berhati-hati kerana adunan akan cepat beku dan sukar untuk diratakan
5. Masak bahagian atas pula, campurkan semua bahan, masak dengan api kecil sehingga pekat & tanak
6. Setelah  masak tuang menutupi bahagian berwarna hijau tadi, biarkan sejuk

puas melipat acuan ni....banyak tapi tak lebih 50 bekas
Dah siap.....gambar blurr pulak 
dalam cerita P Ramlee..."muka kau dah macam tepung gomak!"...inilah dia rupanya kuih tepung gomak tu, mak buat pada hari yang sama

Friday, June 24, 2011

Nasi Ayam Syukran

Salah satu kedai makan favorite kami sekeluarga, Restoran Ayam Kukus Syukran di Seksyen 13 Shah Alam. Nasi Ayam Kukusnya memang sedap harga RM5.50 sepinggan. Ada menu lain masakan cina. Buka setiap hari 10am-10pm kecuali Jumaat ketiga tutup
http://i191.photobucket.com/albums/z94/prosperx/SeleraDapur/IMG00232-20110611-2155.jpg

http://i191.photobucket.com/albums/z94/prosperx/SeleraDapur/nasiayamsyukran.jpg
 Ayam seekor untuk kami sekeluarga - tak habis tapaw ler.....
http://i191.photobucket.com/albums/z94/prosperx/SeleraDapur/IMG00228-20110611-2127.jpg
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...